Kawalan keselamatan bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan strategik merupakan antara tiga keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bertujuan memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa negara masih selamat dan kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap sebarang kemungkinan yang boleh berlaku untuk mengelakkan serangan pengganas seperti di Jakarta, Paris dan Amerika Syarikat (AS) berlaku di Malaysia.
Katanya, rondaan dan kawalan keselamatan secara bersama itu dilakukan di kawasan-kawasan strategik dan tumpuan pelancongan seperti Bukit Bintang dan pusat beli-belah.
“Selain itu, MKN turut memutuskan untuk mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi dalam masa terdekat yang fungsinya menangkis dan menepis dakyah yang cuba mempengaruhi orang ramai menyertai kumpulan militan.
“MKN turut membuat ketetapan tahap sensitiviti keselamatan perlu dipertingkatkan dengan melibatkan agensi-agensi selain pasukan keselamatan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya dalam sidang akhbar di Seri Perdana di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, tiga keputusan itu merupakan langkah kesiapsiagaan negara ekoran serangan pengganas yang terjadi di beberapa negara luar sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, PDRM telah diarah memberikan panduan dan taklimat kepada Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen serta JKKK supaya mereka mempunyai kesedaran sensitiviti yang lebih tinggi.
“Misalnya pemeriksaan bagasi di lapangan terbang, Jabatan Imigresen akan melakukan pemantauan ke atas mana-mana individu yang keluar masuk ke negara ini bagi memastikan mereka bebas daripada rekod jenayah dan potensi sebagai pengganas.
“Kita kena perlu memberi perhatian kepada soal sensitiviti kerana perkara ini dilihat masih dingin dan kurang diberikan perhatian khususnya dalam soal keselamatan,” katanya.
Najib berkata, keselamatan negara pada secara umumnya masih terkawal, namun terdapat dua ancaman besar yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.
“Yang pertamanya, ancaman keganasan berbentuk militan seperti IS dan kedua adalah ancaman di kawasan Pihak Berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) oleh kumpulan tertentu yang pernah menyerang Lahad Datu dan Tandou termasuk Abu Sayyaf,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan setakat ini sebanyak 55 rakyat Malaysia telah dikesan terlibat dalam kumpulan militan IS di Iraq dan Syria dengan 17 daripadanya telah terkorban dengan enam disahkan sebagai pengebom berani mati.
Katanya, sebanyak 129 rakyat negara ini telah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti keganasan dan jumlah itu menunjukkan bahawa kerajaan tegas bagi memastikan keselamatan negara dalam keadaan terkawal.
Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan kepada sesetengah pihak agar jangan cuba menimbulkan reaksi negatif yang boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai berhubung ancaman keganasan di negara ini.
“Apa yang rakyat lakukan sekarang adalah buat seperti biasa dan jangan takut serta bimbang. Rakyat hanya perlu melaporkan kepada pihak berkuasa dengan segera jika melihat seseorang yang berkelakuan pelik,” katanya.