Rabu, 28 November 2012

Pemuda UMNO menyangkal dakwaan pembangkang



Pergerakan Pemuda UMNO menyangkal dakwaan pembangkang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak belum mengumumkan pembubaran Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana takut berdepan dengan rakyat.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, selain tidak berasas, dakwaan itu turut memperlihatkan sikap pembangkang yang mahu mengelirukan rakyat kononnya Barisan Nasional (BN) ketika ini tidak mendapat sokongan rakyat.

"Saya percaya Parlimen tidak dibubarkan bukan kerana BN takut, tetapi Perdana Menteri menunggu masa yang sesuai.

"Ketika ini, kita sendiri telah melihat satu gelombang yang memperlihatkan sokongan rakyat yang memihak kepada kita (BN)," katanya.

Beliau dirujuk selepas melancarkan Kelab Penyokong BN Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menarik perhatian sokongan mahasiswa ketika ini menunjukkan perubahan apabila golongan tersebut kembali menyokong BN.
Menjadikan keputusan pilihan raya kampus baru-baru ini sebagai perbandingan, beliau menambah, mahasiswa di 18 daripada 20 kampus institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini memilih calon aspirasi yang menyokong kerajaan pimpinan BN.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan usaha BN membangunkan golongan muda sering menjadi mangsa fitnah pembangkang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan